HAMPIR dua juta umat Islam dari seluruh dunia termasuk kira-kira 26,000 jemaah Malaysia berwukuf di Arafah semalam, ibadat haji terpenting dalam melengkapkan Rukun Islam kelima itu. Mereka mula meninggalkan Makkah menuju ke padang Arafah selepas waktu Zuhur kelmarin untuk mengerjakan ibadat wukuf manakala Aidiladha disambut di Tanah Suci pada hari ini.
Bagi jemaah Malaysia, mereka bergerak dalam tiga peringkat iaitu selepas Zuhur, selepas Asar dan selepas Isyak. Waktu wukuf bermula dari gelincir matahari (Zuhur) pada 9 Zulhijjah semalam hinggalah terbit fajar (Subuh) 10 Zulhijjah hari ini, waktu yang dikatakan paling mustajab untuk berdoa.Aidiladha di negara ini tetap disambut esok seperti diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia, Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah, Ahad lalu dan ketetapan tarikh berkenaan dibuat berdasarkan hisab dan rukyah di negara ini.
Sebelum ini Majlis Kehakiman Tertinggi Arab Saudi mengumumkan bahawa tarikh 1 Zulhijjah 1428 Hijrah ialah pada Isnin, 10 Disember, iaitu sehari lebih awal daripada yang dijangkakan, selepas anak bulan Zulhijjah kelihatan berdasarkan penentuan tarikh secara rukyah. Berikutan itu, hari wukuf bagi musim haji tahun ini ditetapkan semalam manakala Aidiladha di Arab Saudi disambut pada hari ini.
Sepanjang di Arafah, jemaah haji melakukan ibadat seperti berwirid, berdoa dan membaca al-Quran. Padang Arafah adalah tempat dipertemukan Nabi Adam dan Hawa serta tempat pertama di bumi di mana Allah menerima taubat umatnya. Di Padang Arafah juga adalah tempat Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah terakhirnya sebagai syarat untuk melengkapkan ibadat haji masing-masing.
Bumi Arafah berhampiran kota suci Makkatul-Mukarramah, bukanlah sebarang tempat. Ia dikunjungi hanya setahun sekali dan begitu juga dengan sebuah masjid indah di situ yang hanya dibuka setahun sekali, khas untuk jemaah haji dari seluruh dunia berwukuf serentak. Bagi mereka yang pernah menunaikan Rukun Islam itu atau menontonnya di kaca televisyen, akan kelihatan ratusan ribu jemaah haji berpakaian ihram serba putih berbaris-baris menaiki pelbagai jenis kenderaan seperti bas, van, kereta dan teksi sambil menjinjing beg kecil masing-masing.
Jemaah haji akan terus bermabit di Mina dan melakukan ibadat melontar pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah sebelum mereka kembali semula ke Makkah untuk menyelesaikan ibadat haji dengan mengerjakan Tawaf iaitu mengelilingi Kaabah sebagai simbolik perjuangan manusia dalam pelbagai lapangan untuk meneruskan hidup di dunia dan Sa'ie.
Umat Islam dari seluruh dunia tanpa mengira bangsa, darjat dan warna kulit, akan bersama-sama memuji kebesaran Illahi ketika ini, sekali gus menyerlahkan perpaduan jitu dan kukuh di kalangan sesama ummah. Dengan kekuatan itulah umat Islam akan dihormati dan dikenali serta boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan warga dunia lain.
Dari situ juga lahirlah keinsafan pada diri betapa kelebihan manusia di sisi Allah bukan semata-mata kerana kekuatan dari segi kewangan, kuasa, pangkat atau kecantikan tetapi perlu ditambah nilai dengan takwa, iman dan amal soleh. Ibadat Haji adalah Rukun Islam kelima. Ia menjadi fardu sebaik saja umat Islam berkuasa atau berkemampuan untuk melaksanakannya.
Ibadat yang wajib ini bukan saja mampu membentuk keperibadian mulia umat manusia sesudah bertaubat serta insaf terhadap kebesaran dan keagungan Allah malah menjanjikan beberapa ganjaran kebaikan yang sewajarnya menjadi rebutan masyarakat Islam. Sesungguhnya ibadat haji adalah kemuncak kehidupan seseorang Muslim yang mengabdikan diri kepada Allah.
Sources: www.bharian.com.my
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment